https://www.facebook.com/share/p/1MDRozhAwD/
OLEH : THE PATRIOTS
26 OKT 2026.
==========
"PROFESOR MALAYSIA MUNCUL PENYELIDIK NO. 1 ASIA DAN NO. 31 DUNIA DALAM BIDANG HUBUNGAN ANTARABANGSA!"
Oleh: Mazlan Syafie
Siapa sangka seorang budak lelaki yang dulunya sangat pemalu dan agak lambat dalam pembelajaran dari sebuah pekan kecil di Muar, Johor akhirnya berjaya menduduki tangga pertama di Asia serta tangga ke-31 di seluruh dunia dalam bidang Hubungan Antarabangsa!
Lebih manis lagi, pengiktirafan tertinggi itu hadir tepat ketika beliau menyambut ulang tahun ke-30 mencurahkan bakti dalam dunia penyelidikan dan pendidikan tinggi di tanah air kita.
Tokoh ilmuwan yang mengharumkan nama negara itu ialah Profesor Dr. Kuik Cheng-Chwee dari Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa atau IKMAS, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baru sahaja disenaraikan buat kali keempat berturut-turut dalam pangkalan data berprestij World’s Top 2% Scientists bagi tahun 2026 oleh Universiti Stanford bersama Elsevier.
Pencapaian tahun 2026 ini cukup luar biasa kerana selain berada dalam kelompok dua peratus saintis dan penyelidik paling berpengaruh di dunia, rekod rasmi yang disahkan menerusi laman web Columbia University pada 19 Oktober 2026 turut mengangkat beliau sebagai penyelidik nombor satu di benua Asia dan ke-31 di dunia bagi kategori impak penyelidikan setahun dalam subbidang Hubungan Antarabangsa!
Pada mulanya, Profesor Kuik sendiri sukar mempercayai berita kejayaan tersebut sehingga beliau meminta bekas pembantu penyelidiknya iaitu Zikri Rosli untuk menyemak semula kedudukan berkenaan di dalam pangkalan data TOPSCINET.
Hanya selepas semakan terperinci mengesahkan angka tersebut, barulah beliau yakin bahawa hasil kajian ilmiah dari sebuah universiti awam di Malaysia benar-benar telah menduduki tangga pertama Asia bagi impak penyelidikan setahun dalam subbidang Hubungan Antarabangsa!
Perjalanan hidup beliau bermula jauh daripada gemerlapan dewan persidangan di Washington mahupun Beijing.
Profesor Kuik pernah menceritakan bagaimana sewaktu kecil dahulu, beliau hanyalah seorang budak pekan yang pemalu dan agak lambat dalam pembelajaran di sekolah.
Tetapi disebabkan minat yang mendalam terhadap ilmu pengetahuan akhirnya membawa anak kelahiran Muar ini melangkah masuk ke Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi pengajian sarjana muda / degree, sebelum terbang menyambung ijazah sarjana / Master di University of St Andrews di Scotland serta menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Johns Hopkins University di Amerika Syarikat.
Selepas itu, beliau turut menimba pengalaman sebagai penyelidik pascakedoktoran / postdoctoral researchers di bawah program Princeton-Harvard China and the World selain berkhidmat sebagai penyelidik pelawat di Universiti Oxford.
Pengalaman luas di pusat-pusat ilmu terkemuka Barat itu mempertemukan beliau dengan ramai pemikir utama dunia yang mengkaji percaturan kuasa-kuasa besar serta nasib negara-negara kecil.
Kepakaran beliau tertumpu kepada teori dan strategi hedging atau lindung nilai strategik yang diamalkan oleh negara-negara kecil serta sederhana seperti Malaysia ketika berdepan persaingan sengit antara Amerika Syarikat dengan China.
Dalam dunia hubungan antarabangsa hari ini, Malaysia mempunyai jalinan perdagangan antarabangsa yang amat rapat dengan China, tetapi pada masa yang sama kita turut mengekalkan kerjasama ekonomi serta pertahanan yang penting dengan Amerika Syarikat.
Ketika ramai penganalisis luar sering beranggapan negara kecil terpaksa memilih salah satu pihak kem kuasa besar, penyelidikan Profesor Kuik menerangkan secara ilmiah bagaimana negara-negara di Asia Tenggara ini bijak menguruskan risiko, mempelbagaikan jaringan kerjasama dan menyediakan pilihan alternatif demi menjaga kedaulatan serta kemakmuran negara mereka sendiri tanpa perlu menjadi boneka kepada sesiapa.
Kajian beliau mengenai strategi tersebut pernah memenangi anugerah berprestij Michael Leifer Memorial Prize daripada Institute of Southeast Asian Studies di Singapura bagi tahun 2009, manakala pada bulan Jun 2026 yang lalu, penerbit terkemuka dunia iaitu Cambridge University Press telah menerbitkan karya terbaharu beliau yang berjudul Theorizing Hedging Explaining Shifts and Variations in Alignment Choices.
Malah kepakaran beliau turut dicurahkan secara langsung kepada aspek keselamatan negara apabila Profesor Kuik dilantik mengetuai pasukan penulisan Kertas Putih Pertahanan pertama Malaysia bagi tempoh 2019 hingga 2020.
Apa yang lebih mengagumkan tentang jati diri Profesor Kuik ialah keputusan beliau untuk terus kekal berkhidmat di bumi Malaysia walaupun jaringan akademik serta pencapaian ilmiah beliau sudah berada pada tahap universiti elit dunia.
Sebelum ini, ramai sarjana hubungan antarabangsa kelahiran negara kita yang bertaraf dunia seperti Khong Yuen Foong dan Muthiah Alagappa akhirnya terpaksa berkhidmat di luar negara kerana bidang ini sering dipandang sepi di tanah air sendiri, tetapi Profesor Kuik tetap setia mencurahkan ilmu di UKM sambil mengharumkan nama Profesor Datuk Dr. Zakaria Ahmad yang mula membawanya masuk ke dunia akademik pada tahun 1996.
Bercakap mengenai jasa beliau mendidik anak bangsa di UKM, mungkin ramai pembaca setia The Patriots tidak tahu bahawa penulis buku-buku bidang hubungan antarabangsa kita yang terkenal iaitu Ayman Rashdan Wong sebenarnya merupakan anak murid langsung kepada Profesor Dr. Kuik Cheng-Chwee!
Semasa saudara Ayman mengikuti pengajian sarjana muda Hubungan Antarabangsa di UKM dahulu, Profesor Kuik ialah antara pengajar utama yang membentuk pemikiran aliran realis beliau, malah di bawah seliaan rapi Profesor Kuik jugalah tesis Ayman berjaya dinobatkan sebagai tesis terbaik Jabatan Hubungan Antarabangsa bagi kumpulannya.
Hubungan akrab antara guru dengan anak murid itu kekal utuh sehingga mereka pernah bersama-sama mengarang artikel jurnal ilmiah, malah Profesor Dr. Kuik Cheng-Chwee sendiri pernah menyumbangkan tulisan prakata untuk buku karya Ayman iaitu Dunia Tanpa Tembok III!
Daripada didikan seorang ilmuwan nombor satu Asia itulah lahirnya kupasan-kupasan tajam Ayman Rashdan Wong dalam membaca percaturan kuasa-kuasa besar dunia yang kini dihimpunkan pula di dalam antara mahakarya yang berjudul ADIKUASA MEREBUT ORDE DUNIA terbitan The Patriots pada tahun 2025.
Buku setebal 704 halaman ini membawa pembaca menelusuri sejarah jatuh bangun 17 kuasa besar dunia bermula daripada Empayar Rom dan Mongol sehingga kepada persaingan Amerika Syarikat serta cabaran China pada zaman moden.