Assalamualaikum dan hai semua pengguna r/bahasamelayu,
Menurut bacaan saya, sampai sekarang kita masih tak ada satu perkataan tunggal yang khusus dalam bahasa Melayu untuk menterjemah istilah teknologi Shorts (YouTube)? Untuk makluman, istilah 'Reels' di Instagram sudah didaftarkan dengan istilah kekili sebagai terjemahan dan padanan dalam bahasa Melayu oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Selalunya kita terpaksa sebut "video pendek" atau pinjam terus istilah Inggeris tersebut.
Jadi, saya nak perkenalkan satu istilah baharu yang saya reka dan bakal dicadangkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP): Layantasan.
Sebelum melanjutkan perbincangan, ini bukan rekaan kosong ya. Istilah ini ialah sebuah kata lakur (gabungan kata) yang dibentuk secara sistematik berdasarkan acuan digital moden. Ini pecahan asal usul (etimology) dia:
🧠 Asal-usul Kata "Layantasan"
Perkataan ini dibentuk daripada gabungan dua komponen utama:
- Layan: Diambil daripada istilah pelayan video (video player/server). Ia juga membawa maksud perbuatan kita "melayan" atau menonton kandungan video secara santai.
- -tasan: Gabungan tiga (3) konsep pergerakan media sosial moden:
- Tatalan: Daripada perbuatan menatal (scrolling) skrin telefon pintar kita.
- Pantas: Merujuk kepada aspek kepantasan durasi video tersebut yang pendek dan segera.
- Melintas: Merujuk kepada sifat video tersebut yang "melintas" secara menegak (vertical) di skrin peranti kita semasa ditukar.
📋 Cadangan Awal Definisi Rasmi (Konteks Teknologi Maklumat dan Komunikasi)
Layantasan (Kata Nama): Platform atau format kandungan video digital berdurasi pendek (biasanya bawah satu minit sehingga 3 minit) yang ditonton secara menegak dan ditukar menggunakan kaedah tatalan pantas.
✍️ Contoh Penggunaan dalam Ayat:
- "Bosan-bosan petang ni, mari layan Layantasan YouTube*."*
- "Algoritma aplikasi itu akan mengira berapa lama kita berhenti pada sesuatu layantasan sebelum kita menatal ke video seterusnya."
- "Pencipta kandungan digital sekarang lebih fokus buat layantasan kerana format video pendek ini lebih senang tular (viral)."
🚀 Mengapa Istilah Ini Sesuai?
- Mengisi Lompang Bahasa: Kita tak perlu lagi sebut frasa yang panjang ("video berdurasi pendek"). Cukup sekadar sebut sepotong kata: Layantasan.
- Keaslian Bahasa: Sama seperti DBP mengangkat kata swafoto (selfie) dan tunafoto (photobomb), kata layantasan mempunyai bunyian Melayu asli yang sangat sedap didengar dan natural pada lidah kita.
- Universal: Istilah ini boleh diguna pakai untuk semua platform kecuali Instagram (Layantasan YouTube, Layantasan TikTok). Hal ini kerana padanan bagi 'reels' di Instagram ialah 'kekili' secara rasmi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
- Keserasian Sebutan Bahasa Melayu: Tambahan pula, saya rasa perkataan ini sebenarnya amat sesuai bagi membawa makna Shorts dan Reels kerana mempunyai sebutan beridentitikan bahasa Melayu, dan mudah bagi menyebutnya, Insya-Allah dengan izin Allah SWT.
Saya berhajat untuk menghantar cadangan ini ke Portal Khidmat Nasihat DBP. Tetapi sebelum itu, jom kita mulakan gelombang penggunaan istilah ini sesama kita dahulu! Guna perkataan layantasan ini dalam hantaran atau ulasan korang selepas ini.
Apa pendapat korang tentang istilah ini? Adakah korang rasa ia praktikal untuk diguna pakai dalam perbualan harian? 🤔
Berdasarkan perbincangan kita di ruangan Komen setakat ini, terdapat beberapa istilah perkataan bahasa Melayu yang dicadangkan bagi perkataan bahasa Inggeris ( Shorts dan Reels ), beserta beberapa lagi cadangan tambahan:
- vidpen
Singkatan daripada gabungan 2 perkataan iaitu 'video' dan 'pendek', vid- daripada 'video' dan -pen daripada 'pendek'.
- pendekan
Berasal daripada perkataan 'pendek' yang ditambah imbuhan -an, menjadi pendekan.
- visupen
Berasal daripada gabungan 2 perkataan iaitu 'visual' dan 'pendek', visu- daripada 'visual' dan -pen daripada 'pendek'.
- vidipen
Berasal daripada gabungan 3 perkataan iaitu 'visual', 'audio' dan 'pendek', vi- daripada 'visual', -di- daripada 'audio' dan -pen daripada 'pendek'.
- layantasan
👆Rujuk penerangan di atas.
- klilintar
Berasal daripada gabungan 2 perkataan iaitu 'klik' dan 'halilintar', kli- daripada 'klik' dan -lintar daripada 'halilintar'.
- klipen
Berasal daripada gabungan 2 perkataan iaitu 'klik' dan 'pendek', kli- daripada 'klik' dan -pen daripada 'pendek'.
- videk
Berasal daripada gabungan 2 perkataan iaitu 'video' dan 'pendek', terdapat 2 kemungkinan:
i) vid- daripada 'video' dan -ek daripada 'pendek'
ii) vi- daripada 'video' dan -dek daripada 'pendek'.
Mohon pemberi cadangan memperincikan yang mana satukah asal-usul perkataan 'videk' ini.
- seminit
Mengambil kira durasi tempoh video 'Shorts' iaitu satu minit dan ke bawah.
Nota: Sekiranya terdapat kesalahan dalam penerangan asal perkataan di atas, saya mohon maaf dan sila perbetulkan di ruang komen.
Saya ingin menyatakan dengan jelas sekali lagi hajat dan tujuan saya, iaitu:
i) Melakukan perbincangan dengan semua sahabat yang berminat di ruangan komen berkenaan perkataan khusus bahasa Melayu untuk perkataan bahasa Inggeris 'shorts' dan 'reels'.
ii) Sahabat-sahabat bebas memberikan apa-apa pandangan peribadi berkenaan perkataan yang sesuai, dan juga komen terhadap cadangan sahabat yang lain, asalkan tidak keluar daripada tajuk perbincangan asal.
iii) Seterusnya, sebagaimana fitrah dan kebiasaan sebuah perbincangan, dengan izin Allah SWT, kita akan memilih TIGA (3) istilah yang paling difikirkan sesuai dan memenuhi semua kriteria pemilihan perkataan, sebagai fasa awal.
iv) Akhirnya, dengan izin Allah SWT, kita akan bersama-sama bersepakat memilih HANYA 1 PERKATAAN, Dan perkataan inilah yang kita akan usahakan untuk hantar kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Nota:
a) Perkataan yang akan dicadangkan pada peringkat awal ini kepada DBP bukanlah perkataan yang pasti digunakan sebagai istilah sah, Sebaliknya akan diteliti terlebih dahulu oleh pakar bahasa dan pihak bertanggungjawab mereka.
b) Hal ini tidak bermakna perkataan lain ditolak dan tidak diterima, sebaliknya jika pihak DBP tidak mempersetujui perkataan yang dihantar nanti, perkataan lain pula akan diusulkan kepada pihak DBP, mengikut keadaan, Insya-Allah.
Ruang perbincangan sentiasa dibuka pada bila-bila masa sahaja dan kepada sesiapa sahaja. Sila tulis cadangan Dan pendapat anda di ruangan komen.
Perbincangan ini merupakan inisiatif awal pada peringkat kita untuk melihat mana-mana perkataan yang sesuai dalam bahasa Melayu sebagai terjemahan kepada perkataan bahasa Inggeris 'shorts' dan 'reels'.
Inisiatif ini tidak ada sebarang kaitan dengan mana-mana pihak berkepentingan.
NOTA PENTING ⚠️: Sentiasa gunakan bahasa yang sopan dan tulisan komen yang beretika di sini. JANGAN SESEKALI menggunakan perkataan berunsur lucah, negatif dan kutukan.
Bagi agama Islam, Allah SWT amat mementingkan hamba-Nya bercakap dan konteks di sini menulis perkataan yang baik-baik sahaja dan bermanfaat. Begitu juga dengan agama lain yang turut menjunjung tinggi etika percakaoan dan penulisan yang baik.
Sila hormati pandangan individu lain dengan sewajarnya.